Tentu anda sedang mencari, jenis talak atau jenis-jenis talak. Terdapat 6 jenis talak dalam islam, namun sekirannya anda ingin maklumat yang lebih terperinci, silalah ke Jabatan agama islam yang berdekatan. Jangan risua, mereka akan layan anda dengan baik, nasihat, maklumat, dan teguran pasti ada.



Ok, sebelum anda mengetahui tentang jenis talak, anda perlu memahami apa itu penceraian. Perceraian, dari segi bahasa Arab, bererti tindakan melepaskan atau menguraikan ikatan. Contohnya –

(a) “Aku ceraikan kau”;
(b) “Aku lepaskan kau”

Untuk pengetahuan anda, terdapat beberapa jenis lafas cerai. lafaz perceraian boleh dibahagikan kepada 2 jenis –

(a) dalam bentuk jelas (sareh);
(b) dalam bentuk tidak jelas atau sindiran (kinayah).

Lafaz sareh ialah lafaz yang menggunakan ucapan yang jelas dan tegas dengan maksud menunjukkan
makna perceraian. Contohnya –

(a) “Aku talakkan engkau”;
(b) “Aku ceraikan engkau dengan talak 1, 2 atau 3”.

Dengan ucapan di atas, perceraian tetap berlaku antara keduanya walaupun tanpa niat pada pihak suami. Lafaz kinayah ialah suatu lafaz yang boleh bererti  talak dan boleh pula membawa erti yang lain. Lafaz itu haruslah dilihat hubungannya dengan suasana sebelum dan sesudahnya serta tanda-tanda (qarinah) yang mempertegas erti yang dimaksudkan dan juga niat pihak suami.

Contoh lafaz kinayah –

(a) “Baliklah kamu kepada ibu bapa kamu”;
(b) “Saya tak hendak kepada kamu lagi”;
(c) “Mulai hari ini berpisahlah kita berdua”.

Kesan perkataan-perkataan atau lafaz-lafaz seperti di atas bergantung pada niat suami yang melafazkannya itu. Jika dia berniat menceraikan isterinya, terjadilah perceraian. Sebaliknya, jika dia tidak berniat menceraikan isterinya, lafaz tersebut tidak memberi kesan perceraian-sumber


Ini adalah beberapa jenis talak yang anda perlu fahami, di dalam perceraian, jenis-jenis talak ini boleh dikategorikan seperti berikut:

  1. Talak Raj'ie
  2. Talak Battah
  3. Talak Bain
  4. Menjatuhkan talak tiga sekaligus
  5. Talak Sunni
  6. Talak Bid'i

1. Talak Raj'ie

Talak Raj'ie membawa maksud talak yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah dengan lafaz-lafaz tertentu, iaitu pasangan tidak dikehendaki melalui majlis pernikahan atau ijab dan kabul. Talak yang dilafazkan oleh suami hanya di kira Raj'ie jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua.


2. Talak Battah

Talak Battah adalah talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya buat selama-lamanya, umpamanya perkataan suami kepada isterinya,

"Aku ceraikan kau buat selama-lamanya"

Menurut pandangan Imam Syafi'e talak seumpama ini hanya jatuh menurut niatnya, jika suami berniat satu maka talak hanya disabitkan satu, tetapi jika dia berniat tiga maka talak dikira jatuh tiga.


3. Talak Bain

Talak Bain ini terbahagi kepada dua bahagian:

  • Talak Bain Kubra
  • Talak Bain Sughra.

Talak Bain Kubra adalah talak yang telah berlaku kepada pasangan tersebut sebanyak tiga kali. Iaitu suami telah menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri ini berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahi bekas isterinya ini.

Talak Bain Sughra adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh "Rujuk" kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun isterinya di dalam iddah. Sebahagian dari talak Bain Sughra adalah:

  • Talak yang diputuskan oleh Hakam
  • Talak melalui Khulu'
  • Talak yang difasakhkan oleh Hakim

4. Menjatuhkan Talak Tiga Sekaligus

Di zaman Nabi saw dan Abu Bakar ra, talak yang dijatuhkan tiga dalam satu waktu dihukum hanya jatuh sekali sahaja. Tetapi semasa Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra menjadi Khalifah, beliau telah menghukumkan jatuh ketiga-tiga talak sekaligus. Keputusan ini dibuat oleh Sayyidina Umar kerana di zamannya ketika itu masyarakat amat mempermudahkan lafaz talak yang dibuat.

Bila berlaku perkara seumpama ini Hakim Mahkamah akan membicarakan kes pasangan yang terbabit dan memutuskan hukum talaknya.

5. Talak Sunni

Talak Sunni adalah talak yang mengikut sunnah Nabi saw, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia telah suci dari haid dan sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di hadapan dua orang saksi.

6. Talak Bid'i

Talak Bid'i adalah talak yang diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:

  • Talak diucapkan oleh suami sedang isteri uzur (haid).
  • Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
  • Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersatu dengannya.