Gambr Hiasan


PEMANDU Grab ditahan selepas dipercayai mencabul seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di kawasan kedai kosong di Taman Tronoh Universiti, Batu Gajah, kelmarin.
Dalam kejadian pada 6.45 petang itu, penuntut perempuan berusia 20 tahun itu dicabul suspek berusia 29 tahun ketika dalam perjalanan dari Manjung ke asramanya di Batu Gajah Perdana Pusing.
Susulan laporan polis dibuat mangsa, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah pada 12.30 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa yang sedang menjalani latihan praktikal di Pulau Pangkor menempah perkhidmatan Grab menerusi aplikasi telefon bimbitnya untuk pulang ke asrama berikutan keesokannya mangsa bercuti.
Menurutnya, mangsa menaiki kereta Proton Saga dipandu suspek sebelum suspek memberhentikan kenderaan itu di kawasan kedai kosong di Taman Tronoh Universiti.
“Suspek kemudian keluar dari tempat pemandu dan duduk di tempat duduk belakang bersama mangsa.
“Ketika kejadian, suspek dipercayai meraba tubuh badan mangsa selain memaksa mangsa memegang kemaluannya sebelum mangsa melawan dan bergelut dengan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Adnan berkata, suspek kemudian meneruskan pemanduan untuk menghantar suspek pulang ke asrama serta mengarahkan mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada orang lain dan tidak membuat laporan polis.
“Susulan kejadian itu, polis menahan lelaki berusia 29 tahun tengah hari tadi di pekan Lumut bagi membantu siasatan.
“Kereta dipandu suspek berwarna putih yang digunakan untuk perkhidmatan Grab turut disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.-mymetro