Kalau difikirkan kembali, pelik juga ada orang yang menjadi begitu pemalu hingga sukar untuk diajak bersembang. Mengapa keadaan ini boleh berlaku? Itulah persoalan yang acap kali ditanya kepada teman jika ada antara kamu yang berdepan dengan mereka yang mempunyai karakter sebegini. 

Mengikut teori dan kajian umum, si pemalu bermula daripada anak kecil yang suka menyendiri dan lebih suka melakukan sesuatu di dalam biliknya sendiri. Perasaan malu adalah perasaan gelisah dialami seseorang terhadap pandangan orang lain atas dirinya.



Ada mengaitkan personaliti ini sebagai sesuatu yang hati-hati, curiga dan sebagainya, namun sebenarnya ia adalah masalah dalam diri yang dipanggil konflik rasa yakin.

Pada umumnya sejak lahir manusia memiliki sedikit perasaan malu. Namun apabila perasaan itu berubah menjadi semacam, rasa takut berlebihan maka hal itu akan menjadi suatu fobia atau takut mengalami tekanan daripada orang lain atau takut menghadapi masyarakat.

Individu yang pemalu selalu menghindar daripada keramaian dan tidak dapat secara aktif bergaul dengan temannya lain. Sifat pemalu dapat menjadi masalah cukup serius sebab akan menghambat kehidupan anak, misalnya dalam pergaulan, pertumbuhan harga diri, belajar dan penyesuaian diri.

Umumnya ciri mereka yang pemalu adalah terlalu sensitif, ragu-ragu, murung dan sukar bergaul. Jadi mereka perlu diberi bantuan.

Punca mereka menjadi pemalu adalah kerana unsur keturunan. Sejak lahir mereka dilihat agak sensitif dan kemungkinan hal itu terjadi kerana pembawaan ibu yang ketika sedang mengandung mengalami tekanan jiwa. Namun ini juga belum dapat menjadi suatu bukti kuat apakah kelak anak yang sensitif itu akan menjadi seorang pemalu.

Alasan kedua yang mengatakan sebab mereka menjadi pemalu adalah kerana zaman kanak-kanak mereka kurang gembira. Ada sebahagian mereka ini mengalami hal-hal kurang menyenangkan pada masa kanak-kanaknya. Misalnya orang tua sering berpindah-randah, bercerai, meninggal, dipaksa pindah sekolah atau dihina oleh teman dan sebagainya.

Semua pengalaman itu mengakibatkan terganggunya hubungan sosial mereka dengan lingkungan pembesaran, suka menghindar atau mundur dan tidak berani bergaul dengan orang tidak dikenal.

Mungkin juga pemalu ini disebabkan faktor ketiganya iaitu kurang bermasyarakat. Sifat pemalu akan terjadi apabila anak hidup dengan latar belakang di mana ia diabaikan oleh kedua-dua ibu bapanya atau dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang mengasingkan diri, terlalu dikekang sehingga mereka tidak dapat mengalami hubungan sosial normal dengan masyarakat.

Keempat pula punca mereka menjadi pemalu mungkin disebabkan perasaan rendah diri. Mungkin perasaan malu itu timbul kerana mereka pendek, bersikap kaku atau punya kebiasaan jelek, lalu berusaha untuk menutupinya dengan cara menyendiri atau menghindari pergaulan dengan orang lain.

Kerana kurang rasa percaya diri dan beranggapan dirinya tidak sebanding dengan orang lain, ia tidak suka memperlihatkan diri di mana-mana majlis kemasyarakatan atau sosial.
Ada juga mengatakan punca mereka menjadi pemalu adalah kerana pandangan orang lain yang merasuk ke dalam dirinya sejak kecil. Mungkin orang dewasa sering mengatakan yang mereka pemalu, bahkan guru dan teman juga berpendapat sama, sehingga akhirnya ia benar-benar menjadi seorang pemalu. 
Atasi rasa malu

1. Orang-orang dengan sifat pemalu secara naluri menyimpan kesedaran kalau diri mereka terlewat daripada orang lain. Sifat pemalu biasanya membuat seseorang kehilangan kesempatan, kurang mendapat kesenangan dan terpinggir daripada hubungan sosial.

Sifat pemalu dapat membawa banyak kerugian tapi bagi kamu yang memiliki sifat ini, tak perlu berkecil hati kerana pada dasarnya ada banyak cara untuk mengusir jauh-jauh sifat yang merugikan ini. Sebenarnya formula daripada rasa malu terdiri daripada ‘terlalu berpusat pada diri sendiri’ dicampur dengan rasa gugup.

Apa kata kita lakukan transformasi bagi membuang jauh sikap ini dengan tingkatkan rasa penghargaan kendiri. Iaitu dengan cara menerima diri tanpa syarat. Kita dapat menerima diri kita terutamanya keadaan fizikal sedia ada dengan reda dan kita patut bersyukur atas kejadian fizikal kita yang mengandungi hikmah yang nikmatnya tidak terhitung banyaknya. Dengan cara ini kita akan mula menyayangi, menerima dan menghormati diri kita.

2. Harga diri juga dapat ditingkatkan melalui cara penampilan diri kita iaitu cara kita berpakaian. Imej pakaian kamu menjadikan kamu begitu teruja dan akan mengikiskan rasa malu kerana penampilan berpakaian yang mengakibatkan kita rasa rendah diri.

Belajarlah cara berpakaian mengikut situasi tertentu agar kamu kelihatan menarik dan anggun. Dengan cara ini kamu tidak akan malu dengan penampilan diri yang baru.

3. Jika kamu malu untuk berkomunikasi maka kamu hanya perlu belajar cara yang betul untuk meningkatkan kelancaran pertuturan dan mesej penyampaian kamu secara lisan dan bukan lisan. Bukan lisan adalah seperti nada suara, mimik muka, gerakan tangan, kaki, bahu dan badan kamu serta jarak sesuai.

Penyampaian mesej berkesan akan meningkatkan penampilan diri kamu. Mereka akan kagumi kamu dan seterusnya keyakinan baru ini meningkatkan rasa percaya diri yang dapat menghilangkan rasa malu.

4. Hentikan mengkritik diri kamu secara negatif sebaliknya kritikan perlu dibuat sebagai panduan untuk membina kredibiliti kamu. Sebagai contoh kamu mengkritik diri kamu sukar untuk mudah mesra, jadi kamu perlu bertanya pada suara hati kamu bagaimanakah caranya saya dapat meningkatkannya.

Apa saja bicara diri yang menidakkan kebolehan kamu maka kamu perlu bertanya dan terus bertanya agar kamu dapat meningkatkannya.

5. Jaga setiap kata-kata bicara negatif sama ada dari diri kamu atau pun bicara luaran yang menidakkan kebolehan kamu. Setiap kali berlaku penafian kebolehan kamu maka apa yang perlu dilakukan adalah berikan cabaran pada diri kamu ialah ucapkan terima kasih dan mulai perbaiki dan tingkatkan diri kamu pada mana-mana kelemahan yang ada.

Cari cara-cara bagaimana kamu dapat meningkatkan diri kamu dan seterusnya laksanakan program tersebut.

6. Iktiraf segala pencapaian kamu walau sekecil manapun. Ulangi ucapan kata-kata pujian dan syukur pada Allah atas pencapaian kejayaan kamu sendiri. Sebutkan selalu sehingga melekat di sanubari kamu.

7. Bicara diri positif dapat meningkatkan rasa percaya diri bagi mengikis rasa malu. Katakan pada diri kamu secara berulang-ulang apabila ada sesuatu perkara yang ingin kamu lakukan yang kamu pasti dan mesti melakukan.

8. Bergaul selalu dengan orang-orang berjaya bukan untuk dibuat perbandingan yang boleh menjadikan kamu semakin malu, tetapi belajar dan perhatikan personaliti orang berjaya sebagai panduan kepada kamu membina rasa hebat diri.

9. Atasi rasa malu adalah dengan melakukan raptai mental agar kamu sentiasa dapat ‘melihat’ diri kamu yang hebat dan dikagumi oleh orang sekeliling. Buat latihan berulang kali pada setiap perkara yang kamu ingin lakukan.

Lihat dulu peristiwa tersebut sebagaimana yang kamu inginkan agar kamu dapat melakukan yang terbaik apabila situasi itu kamu lakukan nanti.

10. Berikan cabaran pada diri kamu untuk melakukan perkara yang kamu takut kerana inilah cara terbaik untuk kamu atasi rasa malu. Pengalaman hebat yang kamu lalui akan dapat membina rasa percaya diri bagi atasi rasa malu.

11. Letak peringatan dalam diri yang setiap orang adalah hebat dan unik. Sentiasa rasakan kamu orang penting dan sesiapa saja orang yang kamu temui adalah penting. Jadi dengan cara ini kamu tidak akan rasa malu kerana harga diri kamu sudah ditingkatkan dari masa ke semasa.

Akhir sekali, berdoalah pada Allah untuk hindari rasa malu dalam diri kamu. Insya-Allah kamu dapat menyelesaikannya.