![]() |
Gambar Hiasan |
Demi
mengelakkan isterinya ditahan, seorang lelaki Myanmar sanggup menipu dengan
mendakwa tinggal sendirian apabila pihak berkuasa menyerbu sebuah rumah tidak
bernombor di Kampung Belakang Masjid Intan Syafinaz, Anak Bukit, dekat sini,
semalam.
Dalam
serbuan pada jam 3 pagi, lelaki berusia 30-an itu dipercayai menyembunyikan
isterinya di dalam bilik air sebelum wanita terbabit berjaya meloloskan diri
menerusi pintu belakang ketika anggota Jabatan Imigresen Kedah membuat
pemeriksaan di sekitar kawasan berkenaan.
Walaupun wanita itu berjaya melarikan diri, namun suaminya ditahan bersama 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) lain berusia 19 hingga 40 tahun dalam Ops 6P selama lima jam bermula jam 12 tengah malam di sekitar daerah itu, Pendang dan Yan.
Ketua
Bahagian Penguat kuasanya Nar Azaman Ibrahim berkata, pemeriksaan dilakukan ke
atas 38 warga asing terdiri warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar
di tiga lokasi berkenaan.
Katanya, daripada jumlah berkenaan 14 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya, mereka membabitkan 12 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar yang dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam
serbuan itu, kami turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh kerana menetap
lebih masa dalam negara dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama,”
katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan kira-kira jam 9 pagi kelmarin, empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 30 hingga 36 tahun ditahan kerana melanggar syarat pas diberikan di sebuah premis perniagaan di Sungai Petani, di sini.
Menurutnya,
mereka ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan
sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan
atau kedua-duanya sekali.
Semua PATI berkenaan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Juru di Pulau Pinang atau Langkap di Perak untuk siasatan lanjut.-mymetro
0 Ulasan
Terima kasih kerana comment semoga awak sihat sentiasa dan di murahkan rezeki. Amin