Putus cinta adalah normal dan biasa berlaku. Sebab dan musabab ada terlalu banyak tapi kebiasaan kita dengar membabitkan tiada persefahaman dan keserasian. Malah ada atas desakan lain seperti sikap dan perangai pasangan ataupun halangan keluarga.

Walau apa sekalipun alasannya, senario ‘break off’ adalah sesuatu yang biasa dan bukannya pelik. Mengikut kajian sebuah majalah remaja, lebih 80% sesebuah hubungan itu putus atas kerana tiada persefahaman. Mulanya semua indah tapi lama-kelamaan ada saja yang silap dan salah.





Sering bergaduh dan bertegang urat pun tidak guna, putus saja jalan terbaik menyelesaikan masalah.Tapi lebih kelakarnya bila melihat pada prospek golongan remaja, separuh daripada mereka yang putus cinta akan kembali memujuk bekas kekasih untuk bercinta semula. Itu adalah realitinya kerana jiwa anak muda cepat panas dan gemar membuat keputusan dalam keadaan beremosi.


Jadi bila keadaan reda selepas seminggu, selalunya salah seorang akan sedar dan mula meminta maaf dan memujuk untuk kembali bersama. Memetik kata seorang remaja yang tidak mahu identitinya dikenali, hubungannya dengan bekas teman lelaki begitu rumit walaupun sudah menjalin hubungan lebih tujuh tahun sejak di universiti.

Sepanjang tujuh tahun, mereka pernah melalui fasa putus cinta sebanyak sepuluh kali. “Rasanya tahun kedua kami sudah mula berantakan kerana masing-masing punya ego dan tidak mahu beralah. Selalunya punca pergaduhan sangat remeh dan kelakar kalau kami ingatkan semula.

“Kerana tidak mahu kalah atau mengaku silap, kami sanggup memutuskan hubungan walaupun masing-masing terlalu sayang. Tapi selalunya seminggu saja hubungan itu terputus.

“Kemudian sama ada saya ataupun bekas kekasih akan mula mengirimkan mesej memohon maaf. Kami berjumpa dan berbincang sebelum kembali menjadi pasangan seperti sedia kala.

“Saya sifatkan perkara itu normal kerana apabila kita putus, proses kembali semula itu sangat menarik dan menguatkan lagi hubungan antara kami sebenarnya. Namun ada juga yang sangat menyakitkan hati dan membuatkan saya berada dalam konflik diri untuk menerimanya kembali.

“Namun hati saya terlalu lembut dan menerimanya semula kerana saya percaya semua manusia tidak lari daripada melakukan silap. Tapi selepas kali kesembilan dan detik terakhir, saya rasa itu sudah muktamad untuk mengatakan si dia bukan untuk saya.

“Mana mungkin dalam sesebuah hubungan itu sanggup memutuskan hubungan sebanyak 10 kali? Bagaimana pula kalau sudah berkahwin nanti, takkan setiap kali bergaduh kami perlu bercerai?” katanya.


Tak matang

Justeru jika ada antara anda yang berdepan masalah ini, fikirkan semasak-masaknya kerana soal gaduh dan kemudian memutuskan hubungan itu adalah sesuatu yang serius. Jika kerana perkara remeh boleh mengundang kepada pergaduhan besar dan kemudian sanggup membuang orang tersayang, itu namanya tidak matang dan tidak sepatutnya diteruskan lagi hubungan itu.

Tapi jika anda baru saja menjalin hubungan pertama, mungkin belum berpeluang berdepan pengalaman ini. Namun sekiranya anda sudah pun memutuskan hubungan dengan si dia buat kali pertama, perlu diketahui beberapa gaya dan cara bekas kekasih ingin memujuk anda semula.

Walaupun ramai mengatakan lelaki itu ego dan tidak akan menunjukkan cara meminta maaf, namun masih ada gerak-gerinya yang boleh dihidu untuk mendapatkan anda semula.

Antaranya apabila bekas kekasih yang sebelum ini bersungguh-sungguh mengatakan sudah tidak mahu anda meluahkan rasa rindunya. Pelik? Memang sangat pelik tapi itulah realitinya kebanyakan lelaki.

Tiba-tiba saja dia menelefon atau menghantarkan mesej mengatakan keluarganya rindu pada kamu! Eh! Kalau sudah putus kenapa tidak berterus-terang saja dengan ibu bapa hal sebenarnya. Betul tak? Nampak sangat sebenarnya si dia yang merindui kamu bukannya keluarganya.

Lelaki selalu akan menggunakan orang ketiga sebagai pengantara untuk mengekalkan rasa egonya.

Kerap terserempak dengan si bekas kekasih juga adalah salah satu faktor yang membuktikan yang bekas kekasih kamu itu sebenarnya masih tergila-gilakan kamu. Ke mana saja pergi, pasti akan ternampak kelibatnya.

Kadang-kadang tengah melepak dengan kawan-kawan pun boleh terserempak dengannya. Persoalan di sini adakah ia memang kebetulan atau disengajakan? Tidak mustahil juga jika si dia memang merancang untuk terserempak dengan kamu!


Suka ‘like’ status Facebook

Dia selalu bertanya: “Walaupun kita dah putus, kita masih berkawankan?” Itu juga satu taktik yang bermaksud dia memang takut kehilangan kamu. Yalah, mana tahu jika kamu sudah ada pengganti kamu akan lupakan si dia!

Benda paling popular berlaku hari ini iaitu pemerhati percuma. Setiap kali kamu ‘upload’ status dan gambar di Facebook, Twitter, Instagram atau apa saja sosial media, setiap kali itulah dia akan ‘like’ dan komen status dan gambar kamu!

Hmmm, nampaknya dia tahu setiap perkembangan kamu itu bermakna ada yang sedang ‘stalk’ profil kamu!

Kemudian ada juga jenis lelaki dan tidak kurang gadis yang tidak pasal-pasal asyik nak minta maaf kepada kamu. Masa bercinta bukan main susah nak cakap ‘sorry’, tapi sekarang tiba-tiba jadi manusia paling berhemah.

Kalau lelaki, kalau dia sebenarnya masih menaruh hati kepada bekas teman wanitanya tapi berat mulut untuk menyatakannya, dia akan menunjukkan melalui cara dia berbual dengan bekas kekasihnya itu.

Bila berbual, ada saja topik yang dia ingin bincangkan. Sampai ada kalanya kamu pula terpaksa cari jalan untuk mengakhiri perbualan itu.

Paling ketara kalau anda ingin menilai akan kesungguhannya ingin memenangi hati kamu semula apabila dia berubah dan masih belum menemui penggantinya. Jika kamu berpisah dengan dia kerana sikapnya yang mata keranjang, tapi selepas putus dia masih solo itu bermakna dia benar-benar menyesal dengan apa yang terjadi.

Mungkin kesemua gerak-geri dan gaya yang dikongsikan di atas dapat membantu kamu untuk menilai sejauh mana kebenaran yang bekas kekasih kamu itu sebenarnya mengharap kepulangan kamu.

Perlu diingatkan, kalau kali ini sudah masih kali kelima dia yang meminta putus dan baru sekarang sibuk ingin memujuk, pastikan anda meletakkan syarat jika putus sekali lepas ini, “tiada maaf bagimu!”.


Kamu masih penting

Ada satu ketika, bekas kekasih menghubungi kamu hanya ingin bertanya pendapat. Kalau sekali dua mungkin betul niatnya nak bertanya pendapat, ini boleh dikatakan setiap kali terpaksa membuat keputusan saja si dia pasti akan hubungi kamu untuk bertanyakan pendapat.

Itu menunjukkan kamu masih penting dalam hidupnya!

Kalau betul bekas kekasih masih sibuk bertanyakan keadaan kamu di belakang melalui kawan ataupun keluarga, memang tepat dia masih mengharap cinta lama.

Walaupun ada kalanya kamu menghubunginya pada waktu yang salah dan tidak kena seperti tengah malam ataupun ketika waktu bekerja, si dia tetap melayan kamu dan langsung tidak menunjukkan dia diganggu itu bermakna si dia memang menunggu saat-saat itu.

Bayangkanlah, dia sanggup bersengkang mata semata-mata ingin berbual dengan kamu. Jika dia benar-benar sudah membenci dan melupakan hubungan kamu berdua pasti si dia tidak pedulikan panggilan kamu.

Tersasul panggil nama adalah perkara paling klise namun benar berlaku pada kebanyakan kekasih yang sebenarnya rindukan cinta lamanya. Bila sedang berbual tiba-tiba dia terpanggil kamu ‘sayang’ atau apa saja nama panggilan manja kamu berdua sewaktu bersama dulu.

Mungkin ini bukan saja bagi lelaki namun terjadi juga kepada kebanyakan gadis yang masih menyintai teman lelaki mereka iaitu mengungkit kenangan manis ketika bersama. Masih ingat apa yang kamu suka dan sering mengungkit segala kenangan manis kamu berdua walaupun hakikatnya mulut sudah beribu kali mengatakan ‘kita sudah tiada apa-apa’.

Walaupun sudah tidak mempunyai hubungan, dia masih menceritakan perkembangannya pada kamu hingga menyebabkan kamu rasa seperti “eh kenapa nak cerita kat aku! Kita kan sudah tak ada apa-apa?”. Itu bermakna dia memang menunggu kamu lagi kerana tiba-tiba dia menjadi begitu peramah dan ringan mulut.-mymetro