Soalan:
Menjelang Ramadan, baru-baru ini ada penceramah yang berceramah menyatakan
bahawa sesiapa yang solat tarawih kurang dari dua puluh rakaat tidak sah.
Beliau juga menyata Saidina Umar orang pertama mengadakan solat tarawih
berjemaah, maka tidak mengapa kita mencipta ibadah baru sekalipun Nabi s.a.w
tidak pernah ajar. Beliau kata juga sesiapa yang solat tarawih tapi tidak
berselawat beramai-ramai seperti yang biasa dilakukan di tempat kita maka tidak
ikut amalan Saidina Umar dan sesat. Soalan saya, betulkah demikian?
Khir,
Shah Alam.
Jawapan
: Saudara, semoga kita semua menyambut kedatangan Ramadan kali ini dengan
ibadah yang diterima Allah. Semoga jiwa kita semua penuh keikhlasan dan
kasih-sayang sesama muslim. Malang sekali, fanatik atau taksub telah melahirkan
penceramah-penceramah yang ‘terbabas’ sehingga berbicara apa sahaja yang dia
suka tanpa menyemak terlebih nas-nas yang sabit. Untuk soalan saudara saya sentuh
beberapa perkara berikut;
1.
Sebenarnya,
solat tarawih berjemaah yang pertama dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.
Sesiapa yang membaca hadis, akan menemui hal ini. Daripada Aishah r.aha:
“Sesungguhnya RasululLah s.a.w keluar pada suatu
pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang
mengikut solat baginda. Paginya orang ramai pun bercerita mengenainya. Maka
berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua), baginda pun solat, mereka solat
bersama baginda. Paginya orang ramai pun bercerita. Maka bertambah ramai ahli
masjid pada malam ketiga. RasululLah s.a.w keluar bersolat, mereka solat
bersama baginda. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan orang
yang hadir. (Baginda tidak keluar) sehinggalah baginda keluar pada solat subuh.
Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, baginda bersyahadah, dan
bersabda amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kamu, tetapi
aku bimbang difardukan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu. Sehinggalah
RasululLah s.a.w wafat dalam keadaan begitu (tiada jamaah tarawih di masjid)”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis
ini dengan jelas menunjukkan Nabi s.a.w yang memulakan solat qiam atau disebut
sebagai tarawih secara berjemaah dengan satu imam. Bukan ‘Umar r.a yang memulakannya.
Namun baginda berhenti kerana bimbang ia menjadi kefarduan disebabkan simpati
baginda kepada umat. Ini kerana zaman tersebut adalah zaman wahyu diturunkan
atau zaman pensyariatan. Baginda tidak berhenti kerana ia salah atau tidak
diizinkan, namun berhenti bimbangkan Allah fardukan kepada umat sedangkan umat
ini mungkin ada yang tidak sanggup.
Maka
dari hadis ini, solat tarawih berjemaah adalah sunnah yang jelas. Mereka selama
tiga hari telah solat di belakang baginda. Jika tidak kerana kebimbangan itu,
tentu baginda meneruskannya. Apabila baginda wafat kebimbangan itu tiada lagi.
Wahyu sudah terputus. ‘Umar pun menghidupkannya kembali. Pada zaman Abu Bakr,
terlalu singkat masanya, dan mungkin beliau tidak berkesempatan menguruskan hal
tersebut disebabkan berbagai kesibukan seperti kes murtad dan seumpamanya, atau
beliau tidak melihat keperluan untuk itu.
2.
Justeru
itu al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) dalam karyanya al-I’tisam mengulas
hadis ini dengan berkata:
“Renungilah hadis ini. Ia menunjukkan kedudukan solat
tarawih adalah sunat. Sesungguhnya solat baginda pada peringkat awal menjadi
dalil menunjukkan kesahihan menunaikannya di masjid secara berjamaah pada bulan
Ramadan. Baginda tidak keluar selepas itu adalah kerana bimbang difardukan. Tidak
menunjukkan ia dilarang secara mutlak. Ini kerana zaman baginda ialah zaman
wahyu dan tasyri’ (perundangan)..” (m.s 147, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Adapun
berhubung dengan perkataan Saidina ‘Umar yang menyebut solat tarawih pada
zamannya “sebaik-baik bid’ah hal ini”, al-Imam al-Syatibi mengulas:
“Dia
menamakannya bid’ah hanya disebabkan pada zahirnya setelah mana RasululLah
s.a.w meninggalkannya. Sepakat pula ia tidak berlaku pada zaman Abu Bakr r.a.
Bukannya bid’ah pada makna (syarak). Sesiapa yang menamakan bid’ah disebabkan
hal ini (muncul semula), maka tiada perlu perbalahan dalam meletakkan nama
(istilah). Justeru itu tidak boleh berdalil dengannya untuk menunjukkan
keharusan membuat bid’ah” (m.s 147-148).
Maksudnya
bid’ah yang disebut oleh Saidina ‘Umar adalah disudut baru muncul semula
setelah Nabi s.a.w tinggalkan, maka ia dari segi bahasa boleh dinamakan bid’ah.
Bukan bererti keharusan membuat bid’ah yang dilarang syarak.
3.
Berdasarkan
riwayat yang sahih dalam al-Muwata karya al-Imam Malik bin Anas, bilangan
rakaat yang Saidina Umar perintah dilaksanakan adalah sebelas rakaat. Kata
al-Saib bin Yazid:
“Umar telah memerintahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim
al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat” (Riwayat
Malik).
Maka
dengan itu riwayat al-Baihaqi melalui Yazid bin Khasifah daripada al-Saib bin
Yazid yang menyebut bilangan yang ‘Umar perintahkan sebanyak dua puluh rakaat
adalah bercanggah dengan riwayat sebelas rakaat yang sahih tadi.
Sedangkan
dari segi kekuatan riwayat, riwayat sebelas rakaat itu lebih kuat, maka riwayat
dua puluh dianggap shaz (ganjil) kerana menyanggahi rawi yang lebih kuat.
Justeru,
riwayat dua puluh dihukum daif oleh sesetengah ahli hadis. Sebahagian pula
menerima riwayat Yazid bin Khasifah dan mentakwilkan bahawa ada hari Umar
memerintahkan sebelas rakaat dan ada hari pula yang diperintahkan dua puluh.
Apapun, hadis al-Imam Malik tadi yang menyebut sebelas rakaat menafikan dakwaan
yang menyatakan sesiapa yang solat tarawih beserta witir sebelas rakaat tidak
sah. Itu adalah dakwaan yang melampau dan zalim.
4.
Sebenarnya,
para ulama salaf solih sendiri berbeza pendapat tentang bilangan rakaat bagi
solat tarawih bersama witir. Antaranya, pendapat yang menyatakan empat puluh
satu, tiga puluh sembilan, dua puluh sembilan, dua puluh tiga, tiga belas dan
sebelas. Adapun dari segi riwayat amalan Nabi s.a.w, Ummul Mukminin Aishah
r.aha ditanya mengenai solat Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan, jawab beliau:
“Rasulullah s.a.w tidak pernah melebihi sebelas rakaat
samada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis
ini juga menunjuk perbuatan mencela solat tarawih sebelas rakaat adalah
menyanggahi sunat Nabi s.a.w. Bahkan ramai ulama hadis yang mengutamakan
bilangan sebelas rakaat ini sebagai mencontohi Rasulullah s.a.w.
5.
Saya
bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi
s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w
tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan
menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk
subuh berwitirlah. Lajnah Tetap dan Kajian Ilmiah serta Fatwa, Arab Saudi
sendiri ketika mengulas hal menyebut:
“Tiada menjadi salah untuk menambah lebih dari sebelas
kerana Nabi s.a.w tidak pernah menghadkannya sedikit pun. Bahkan apabila
ditanya tentang solat malam baginda menyebut: “Dua rakaat, dua rakaat (secara
dua rakaat setiap solat), jika seseorang kamu bimbang masuk waktu subuh, maka
solatlah satu rakaat sebagai witir kepada apa yang telah dia solat sebelum”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini baginda tidak menghadkan
sebelas atau selainnya. Ini menunjukkan ada keluasan dalam solat malam pada
Bulan Ramadan atau selainnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/195, Riyadh:
Riasah Idarah al-Buhuth).
6.
Adapun
dakwaan bahawa sesiapa yang tidak berselawat semasa solat tarawih sesat maka
itu adalah dakwaan yang melampau. Apakah beliau ingin menyatakan seluruh dunia
Islam yang sebahagian besarnya tidak berselawat, termasuk Masjid al-Haram dan
Masjid al-Nabi itu sesat?!
Selawat beramai-ramai semasa solat tarawih itu tidak
dilakukan di zaman Saidina Umar, juga khalifah al-Rasyidin yang lain. Jika pada
zaman Saidina Umar dan Saidina Uthman mereka bersalawat dan menyebut nama
khalifah-khalifah selepas Nabi s.a.w seperti yang dilakukan oleh sesetengah
pihak di negara ini, tentulah para sahabat tidak tertanya-tanya lagi siapakah
bakal mengganti kedua khalifah tersebut selepas kewafatan mereka.
Tentu tiada perbincangan lagi dalam menentukan para
khalifah semasa zaman sahabah. Ini menunjukkan hal ini tidak dilakukan oleh
para sahabah. Mencontohi Nabi s.a.w dan para sahabah dalam ibadah adalah paling
baik dan selamat.
7.
Di
sana ada riwayat yang sahih
“bahawa Nabi s.a.w berwitir dengan membaca Surah al-A’la,
al-Kafirun dan al-Ikhlas. Baginda menyebut selepas member salam Subhana
al-Malik al-Quddus sebanyak tiga kali dengan memanjang dan mengangkat suara
baginda” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud dan Ahmad).
Maka,
jika kita mencontohi perbuatan tersebut, ia merupakan sunnah.
Sumber
: Klik Sini
0 Ulasan
Terima kasih kerana comment semoga awak sihat sentiasa dan di murahkan rezeki. Amin