Ini adalah perkara
yang biasa kita dengar mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa atau pun
kurangkan pahala puasa.Sebahagian pendapat itu khilaf dan telah disebut oleh
beberapa ahli fekah dahulu, tetapi dilihat tidak kukuh untuk dipegang ataupun
ada ruang untuk disemak semula. Antaranya ialah :
1. Mandi Masa Puasa
Antaranya,
anggapan bahawa mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan
mengurangkan pahala puasa. Ada pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas
asar makruh. Ini tidak disokong oleh riwayat yang menunjukkan Nabi s.a.w
mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika berpuasa kerana terlalu panas
ataupun dahaga. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam
al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman
meriwayatkan:
“Telah
berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di
al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda
berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
2. Memasukkan Ke Rongga
Antara
anggapan lain ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa
benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman.
Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang
hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang
bercelak kerana bimbang masuk ke dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas
riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas:
“Membatalkan
puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar” (riwayat Ibn Abi Syaibah,
sahih).
Namun,
itu merupakan ulasan Ibnu ‘Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan
ia tidak membatalkan puasa. ‘Apa yang masuk’ bermaksud makanan
ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan
minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tentu maka ia tidak
termasuk dalam maksud ini. Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun
kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.
Syeikhul
Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut
tentang khilaf ulama, beliau menjelaskan puasa merupakan amalan setiap muslim.
Jika perbuatan seperti bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa
zaman Nabi itu membatalkan puasa, tentu baginda s.a.w akan menerangkannya. Juga
tentu para sahabah akan bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih
tentang hal itu, maka menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa.
Demikian juga tentang mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.
Maka
menggunakan eye drops yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong
dan seterusnya adalah dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan
minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.
3. Tidak Mandi Junub
Antara
lain ialah menganggap tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan
waktu subuh sudah masuk. Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan
isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk
waktu subuh iaitu waktu berpuasa.
Ertinya
ketika dia mandi wajib, waktu subuh telah masuk. Ada yang menganggap puasa itu
tidak sah. Padahal dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah
bahawa Nabi s.a.w pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan
baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu)”
(Riwayat al-Bukhari).
4. Muntah
Antara
lain ada yang menganggap sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya,
di sana ada perbezaan antara termuntah dan sengaja muntah. Dalam hadis, Nabi
s.a.w bersabda:
“Sesiapa
yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah,
hendaklah dia qada”. (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud dan Ibn Hibban).
Maka
sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk
perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri
untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya.
5. Imsak
Antara
lain menganggap sesiapa yang makan ketika hampir subuh iaitu bukan pada waktu
imsak yang difahami oleh sesetengah pihak, maka puasanya tidak sah. Ini kerana
mereka menganggap puasa bermula beberapa puluh ataupun belasan minit sebelum
subuh. Padahal waktu puasa bermula apabila masuknya waktu subuh. Firman Allah:
(maksudnya)
“Makan
dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu
fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah:
187). Sabda Nabi s.a.w pula: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan,
kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
6. Musafir
Antara
anggapan lain bahawa seseorang yang bermusafir jika berkemampuan wajib
berpuasa, jika tidak dia berdosa. Ini berlainan dengan ayat Allah dalam
al-Quran: (maksudnya)
“..dan
sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti)
pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu
kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).
Hamzah
bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah s.a.w:
“Wahai
Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir,
adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi s.a.w: “Ia adalah rukhsah
(kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya (tidak berpuasa ketia
musafir) maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada
salah baginya”. (Riwayat Muslim).
7. Tidak Sengaja
Perbuatan
yang tidak sengaja, dipaksa ataupun terlupa seperti makan dan minum tidak
membatalkan puasa. Sekalipun seseorang itu telah makan dan minum dengan banyak
sekali. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa
yang lupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, maka
sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikan dia makan dan
minum” (Riwayat al-Bukhari).
Demikianlah
semua perbuatan yang tidak sengaja ataupun terlupa. Termasuk terkeluar air mani
disebabkan mimpi atau terfikir secara yang tidak diusahakan. Jumhur ulama
menyatakan tidak batal puasa. Di samping di sana wujudnya pendapat minoriti
ulama Ibn Hazm, al-San’ani, as-Syaukani dll yang berpendapat keluar mani
walaupun dengan sengaja ia tidak membatalkan puasa sebab tiada dalil mengenai
hal itu. Adapun majoriti ulama berpendapat batal.
Apapun,
sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan tidak membatalkan puasa. Termasuklah
tertelan air semasa mandi ataupun hujan ataupun suri rumah yang terbiasa merasa
makanan ketika masak lalu memakannya kerana lupa, kesemua itu tidak membatalkan
puasa.
Sumber : Klik Sini
0 Ulasan
Terima kasih kerana comment semoga awak sihat sentiasa dan di murahkan rezeki. Amin