Dalam
bulan Ramadan ataupun ketika berbuka puasa, soalan ‘solat dulu ataupun makan
dulu’ sering kedengaran.Ini terutama dalam keluarga yang ada ramai ahli
terutama anak-anak yang masih kecil yang dilatih berpuasa. Juga soalan ini
kedengaran apabila kita dijemput berbuka puasa di rumah orang lain yang ingin
melayan kita.
Makan
Dulu
Ada
orang menyangka bahawa sekalipun makanan sudah terhidang, yang terbaik itu
solat dahulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada yang apabila mereka duduk
di keliling hidangan, kemudian bangun meninggalkannya dan pergi menunaikan
solat. Amalan seperti itu dirasakan oleh sesetengah pihak sebagai lebih
mengikut kehendak agama. Namun, jika kita merujuk kepada hadis-hadis Nabi s.a.w
kita akan dapati penegasan yang sebaliknya. Antaranya hadis daripada Anas bin
Malik r.a.: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila
telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan
solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”(Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Dalam
hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, baginda s.a.w. bersabda:
“Apabila
dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah
didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah
sehinggalah dia selesai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Riwayat
di atas juga menambah bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya
makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi
solat melainkan hingga beliau selesai makan, walaupun beliau mendengar bacaan
imam.
Hikmah
daripada arahan Nabi s.a.w agar mendahulukan makan ialah agar pemikiran kita
tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan yang telah kita lihat
terhidang di hadapan mata sebelum bersolat tadi. Ini boleh mengganggu
kekusyukan solat seseorang. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah
makanan terhidang di hadapan mata. Ini merangkumi semua solat, bukan khusus
pada solat Maghrib sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh
Sahih Muslim mengulas hadis-hadis berkaitan:
“Di
dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang
hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan
khusyuk”.
Dalam
Faidh al-Qadir l-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut bahawa arahan
ini merangkumi semua solat dengan katanya:
“Hadis
tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib.
Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca
arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”
Salah
Faham
Ini
bukan bererti kita mengutamakan makan dari solat. Sebaliknya kita makan
terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekusyukan solat. Hal yang sama apabila
kita dilarang bersolat dalam keadaan terasa ingin membuang air besar ataupun
air kecil. Nabi bersabda:
“Tiada
solat (jangan dirikan solat) dalam keadaan makanan terhidang dan dalam keadaan
menahan air besar atau air kecil” (Riwayat Muslim).
Ini
bukanlah bererti kita menganggap buang air besar dan kecil itu lebih utama dari
solat, sebaliknya mendahului kedua perkara itu demi menjaga kepentingan solat.
Al-Imam
Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn
Jauzi (meninggal 597H):
“Ada
orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab
mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini
adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh
tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak
memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
Dengan
itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah
sunnah Nabi s.a.w. Maka apabila makanan terhidang, ibubapa hendaklah memberikan
anak-anak makan terlebih dahulu ketika berbuka, sehingga mereka selesai maka
barulah bersolat. Inilah sunnah.
Melakukan
susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah dengan kadar yang
diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah lalu gagal bersolat dengan
sempurna.
Tidak
Makruh
Di
sana ada cara untuk mengelakkan kemakruhan ini, iaitu elakkan menghidangkan
makanan terlebih dahulu sebelum solat. Elakkan mata terpandang kepada makanan
yang telah dihidangkan. Selepas selesai bersolat barulah dihidangkan. Namun,
jika kelaparan itu kuat, bau makanan telah masuk ke hidung, sehingga ingatan
kepada makanan sangat kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan
terlebih dahulu.
Juga
sudah pasti tidak makruh bersolat sekalipun makanan sudah terhidang jika
keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana punca (‘illah) larangan bersolat
semasa makanan terhidang ialah agar tidak mengganggu kusyuk. Jika seseorang
memang tiada keinginan kepada makanan, sudah pasti tidak menggangu kusyuk
sekalipun makanan sudah terhidang.
Sumber
: Klik Sini
0 Ulasan
Terima kasih kerana comment semoga awak sihat sentiasa dan di murahkan rezeki. Amin