![]() |
TERSELAMAT: Annuar ditemani isterinya mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei setelah dirujuk dari Hospital Saratok, |
Selang
satu tahun, 10 bulan dan satu hari selepas Sulaiman Abdullah, 66, dari Kampung
Melayu Roban diserang buaya ganas yang diberi jolokan ‘Bujang Seblak’ oleh
penduduk tempatan, kejadian sama berlaku pula ke atas anaknya, Annuar Sulaiman,
39.
Bezanya,
Annuar terselamat dalam insiden terbaharu, manakala bapanya terkorban dibaham
buaya berkenaan.
Abang
mangsa, Endoi Sulaiman, 42, yang bersama mangsa sewaktu kejadian berkata, dia
tidak menyangka hampir menjadi saksi yang sama untuk kali kedua dalam kejadian
itu.
![]() |
LOKASI SERANGAN: Endoi menunjukkan lokasi berlaku serangan buaya terhadap adiknya |
“Semasa
kejadian, saya dan adik saya sedang bersiap-siap hendak pulang ke kampung
setelah selesai membantu ibu saudara saya dan anaknya yang merupakan nelayan
sungai, yang sama kampung dengan kami, mengutip hasil tangkapan daripada belat
(pukat) mereka.
“Kami
menggunakan dua buah perahu berasingan, di mana saya dan adik saya menaiki
perahu yang sama.
“Ketika
kami hendak balik, adik saya berdiri di gigi air untuk membetulkan kipas enjin
bot yang kami gunakan yang secara kebetulan telah patah ‘pin’ (kekunci kipas),
manakala saya berdiri di sebelahnya sambil menyaksikan dia memperbaiki ‘pin’
tersebut.
“Tiba-tiba
dalam sekelip mata saya melihat adik saya seolah-olah ditarik sesuatu yang amat
besar dari dalam air, sambil dia berusaha berpaut di tepi perahu. Melihat
kejadian itu, saya segera menyambar tangannya,” cerita Endoi ketika ditemui di
Hospital Saratok,
Menurut
Endoi, kejadian serangan itu berlaku di kawasan berhampiran dengan rumah
panjang Pelunga, Roban sekitar jam 9 malam.
“Melihat
Annuar yang ditarik buaya tersebut ke tengah sungai, saya dengan penuh kudrat
dan tenaga terus memegang kukuh tangannya, sambil kaki saya memasang kekuda di
bahagian tepi perahu.
“Berikutan
tarikan kuat dan pergelutan dengan buaya, perahu kami berdua telah bergerak ke
tengah sungai. Melihat detik cemas tersebut, ibu saudara saya dan anaknya yang
masih berada di lokasi sama bergegas menghulurkan bantuan.
“Makcik
saya telah memegang kukuh haluan kami berdua dari perahu mereka, manakala
anaknya mengambil sebatang galah panjang dari buluh, lalu mencucuk-cucuk dan
memukul ke dalam air.
“Dalam
usaha tersebut dan mungkin terkena pukulan, tiba-tiba buaya terbabit melepaskan
gigitan di kaki kiri adik saya itu. Melihat peluang tersebut, saya dengan
segera menarik adik saya naik terus ke dalam perahu,” ujarnya.
Sejurus
melepaskan diri, Endoi bersama ibu saudara dan anaknya segera meninggalkan
lokasi kejadian dengan membawa Annuar yang menahan kesakitan akibat gigitan
buaya pulang ke Kampung Melayu Roban sebelum dikejarkan ke Hospital Saratok.
Tulang
kaki kiri Annuar patah berikutan serangan itu.
Sebelum
ini, reptilia di Sungai Seblak mempunyai sejarah serangan tersendiri mulai
tahun 2007 di mana lima mangsanya adalah nelayan sungai, selain seorang isteri
tuai rumah dari Sungai Anak.
Mangsa
terakhir ‘Bujang Seblak’ ialah Manja Salman, 29, dari Kampung Sessang yang
terbunuh pada Mac 2013.
Sementara
itu, Annuar yang ditemui di Hospital Sarikei setelah dirujuk dari Hospital
Saratok semalam berkata, biarpun kejadian itu menimpa dirinya, ia tidak akan
mematahkan semangatnya untuk terus menangkap ikan di Sungai Seblak yang menjadi
sumber rezeki keluarganya.
“Pekerjaan
sebagai nelayan sungai ini sudah sebati dalam diri saya dan ia telah dilakukan
sejak turun-temurun oleh keluarga kami.
“Tujuh
orang anak saya membesar dengan hasil tangkapan yang saya perolehi dari sungai.
Cuma satu pemintaan saya sekarang ialah berharap pihak berkaitan melakukan
usaha berkesan utuk mengatasi masalah ini,” kata Annuar sambil menyifatkan
konflik di antara buaya dengan manusia akan terus berlaku walaupun terdapat
usaha pihak berkuasa memburu reptilia tersebut di Sungai Seblak.
Dalam
tinjauan pemberita bersama Endoi di lokasi serangan buaya berhampiran Rumah
Pelunga di sini semalam, seorang penduduk memberitahu terdapat tiga ekor buaya
bersaiz agak besar sering kelihatan di lokasi tersebut.
“Terdapat
tiga perbezaan yang ketara bagi tiga buaya tersebut, seekor bersaiz agak besar
berwarna hitam-kehitaman, seekor sederhana besar berwarna hitam kekuningan,
manakala seekor lagi agak kecil berbanding dengan dua ekor terbabit, berwarna hitam
dan sedikit kuning cerah,” jelasnya.
Lokasi
serangan tersebut terletak lebih kurang 15 minit perjalanan menaiki perahu
enjin pam dari Kampung Melayu Roban dan juga terkenal sebagai lubuk buaya oleh
masyarakat setempat.-borneopost
0 Ulasan
Terima kasih kerana comment semoga awak sihat sentiasa dan di murahkan rezeki. Amin