Islam
menggalakkan bersugi (gosok gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut
seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita
diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi s.a.w:
“Jika tidak kerana bimbangkan
membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali
waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Apabila
kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan.
Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil
kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru itu, Nabi
s.a.w bersabda:
“Bau busuk mulut orang yang berpuasa
itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
Namun
ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang
lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatahlagi di
zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang
di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu
akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada
bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.
Maka
pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak
begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun neutrality agama ini. Dengan
menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak
pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk
seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi
riwayat. Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang
dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh
menjadi hujah. Apatahlagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri.
Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum
merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.
Bukan
Hujah
Antara
hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi
s.a.w bersabda:
“Jika kamu berpuasa maka bersugilah
pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh
al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh
dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat
ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata:
“Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad,
at-Tirmizi, Abu Daud dll).
Apapun
galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang
sahih adalah asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan
tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis sahih yang
lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut:
“Bersugi
itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai,
Ibn Hibban dll).
Justeru
itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan
perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu jangan
jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang
berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!
Sumber
: Klik Sini
0 Ulasan
Terima kasih kerana comment semoga awak sihat sentiasa dan di murahkan rezeki. Amin