Ramadhan
yang kita nanti-nantikan telah tiba untuk sekali lagi kita berada di dalamnya.
Ini tanda Allah masih sayang kepada hamba-hambanya dengan memberi sekali lagi
peluang untuk kita bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Berpuasa
adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini. Persoalannya bagaimana tips-tips
yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah?
Mari kita telusuri satu persatu.
Rasulullah
s.a.w Bersahur
Rasulullah
menganjurkan kita untuk bersahur sebelum aktiviti menahan diri dari makan dan
minum di siang hari dimulakan. Bagaimana Rasulullah s.a.w bersahur? Bersahur
bukanlah dilakukan ditengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu
waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Bersahur juga memberi
kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah
s.a.w bersabda:
Dari
Anas Bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur
itu terdapat keberkatan.
(HR:
al-Bukhari)
Perbezaan
antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur
(HR:
Muslim)
Rasulullah
Menyegerakan Berbuka
Perbuatan
melambat-lambatkan berpuasa puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang
oleh Rasulullah s.a.w. Masyarakat kita sering melihat perkara ini sebagai satu
isu remeh. Apa yang terjadi dalam rata-rata masyarakat kita di Malaysia, ketika
masuknya waktu solat maghrib (waktu untuk berbuka puasa), mereka masih lagi
berada di bazaar-bazar ramadhan untuk membeli juadah mereka. Penjual juga masih
lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka walaupun azan maghrib telah
berkumandang. Ibu-ibu di rumah pula masih berada di dapur menyiapkan juadah
berbuka puasa ketika azan maghrib bergema. Ini kerana melewat-lewatkan
berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian.
Persiapan
seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah s.a.w untuk kebaikan
umatnya dapat diamalkan sebaiknya. Rasulullah telah bersabda di dalam satu
hadithnya yang dilaporkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus
hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h:
قال
النبي صلى الله عليه وسلم : " لا يزال الدين ظاهراً ما عجل الناس الفطر لأن اليهود
والنصارى يؤخرون "
Agama
ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa,
ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya.
Berbuka
Dengan Beberapa Biji Kurma
Antara
kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan beberapa
biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk memudahkan dirinya bersolat
dalam keadaan tidak terlalu kenyang. Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik,
seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi katanya:
Rasulullah
s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma
basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering.
Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.
Ini
adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Ramai diantara kita yang sering meninggalkan
sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum sehingga
kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib. Rasulullah makan dengan beberapa
biji kurma, kemudian bersolat. Apabila Rasulullah s.a.w terasa lapar,
Rasulullah s.a.w makan selepas baginda solat.
Menjaga
Lidah
Terlalu
rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikitpun pahala dari amalan
tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara faktor
berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak menjaga lidah. Mengumpat,
mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak
bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga dilakukan ketika
berpuasa.
Umumnya
perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun bukan pada bulan
Ramadhan. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadith yang dilaporkan oleh
Ahmad dan al-Tabarani:
رُبَّ
صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ , وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ
قِيَامِهِ السَّهَرُ
Ramai
orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai
orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)
Memberi
Makan Orang Yang Berpuasa
Antara
amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk meningkat neraca
kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta dengan menyediakan juadah
berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa. Terlalu besar ganjarannya
seperti yang diberitahu Rasulullah di dalam hadith-hadith baginda yang mulia.
Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Tirmidzi dan Ibn Majah:
Sesiapa
yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan
mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa
dikurangkan sedikitpun daripadanya
Bagi
mereka yang dijemput untuk berbuka puasa bersama, wajib baginya untuk memenuhi
undangan tersebut. Ini kerana, berpuatan membelakangi undangan tersebut dicela
oleh Rasulullah dan ianya seoalah-olah telah menentang Rasulullah s.a.w.
Adalah
sunnah mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput
dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa. Antara doa yang telah
diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut:
1.
Ya
Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, dan berilah minum orang yang
memberiku minum (riwayat Muslim).
2.
Ya
Allah, Ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka dan berkatilah apa yang telah kau
rezekikan kepada mereka(riwayat Muslim).
Sumber : Klik Sini
0 Ulasan
Terima kasih kerana comment semoga awak sihat sentiasa dan di murahkan rezeki. Amin